27 April - 2 Mei 2025M bersamaan 28 Syawal - 4 Zulkaedah 1446H, telah berlansung Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi bertempat di Dewan 2020, Kangar, Perlis.
Yayasan ADDIN merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Aiman Ridhwan Bin Mohamad Ramlan dan kepada Muhammad Adib Bin Ahmad Rozaini mewakili Negeri Perak atas kejayaan yang cemerlang dalam menjuarai Tilawah serta Hafazan 1 - 30 Juzuk Al-Quran Peringkat Kebangsaan tahun ini.
Usaha gigih yang telah ditunjukkan oleh mereka dalam mempersiapkan diri untuk pertandingan ini adalah contoh yang sangat inspiratif. Dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan selama ini membuktikan bahawa kejayaan tidak datang bergolek, tetapi melalui kerja keras dan ketekunan.
Di samping itu, sokongan padu daripada keluarga juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mencapai kejayaan ini. Pengorbanan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi serta kasih sayang dan bimbingan yang telah memberikan asas yang kukuh dalam mencapai kejayaan ini. Tidak lupa juga kepada para guru yang telah berusaha tanpa jemu dalam membimbing dan mendidik mereka. Peranan para guru dalam menyampaikan ilmu dan memberikan tunjuk ajar adalah asas kepada kejayaan ini.
Semoga dengan keberkatan Al-Quran, mereka akan terus mengembangkan bakat dan memperkukuhkan ilmu agama. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk lebih banyak pencapaian di masa hadapan.