IPOH, 2 NOVEMBER 2026 - Yayasan Pendidikan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ADDIN (Yayasan ADDIN) telah menerima kunjungan hormat delegasi University College Bestari, Setiu, Terengganu pada 2 November 2026 (Isnin), bertempat di Bilik Mesyuarat Bahagian Pendidikan, Yayasan ADDIN.
Kunjungan ini bertujuan membincangkan peluang kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi, khususnya bagi membuka laluan kepada para pelajar tahfiz untuk melanjutkan pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Antara perkara yang dibincangkan ialah peluang pengajian di peringkat asasi, diploma dan ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang, termasuk pengajian Islam, teknologi maklumat, perakaunan, kejururawatan, seni kulinari, pendidikan awal kanak-kanak serta pengurusan perniagaan.
Dalam pertemuan tersebut, Yayasan ADDIN turut menawarkan kerjasama kepada University College Bestari dalam pelaksanaan Program Sijil Perakuan Hafazan Bertahap JAKIM (SPHB) yang merangkumi pensijilan hafazan al-Quran mengikut tahap 5, 10 dan 20 juzuk, serta Sijil Tahfiz Malaysia bagi hafazan 30 juzuk.
Pertemuan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang pendidikan dan pembangunan akademik kepada para pelajar tahfiz dalam melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Delegasi Yayasan ADDIN diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Haji Mohd Sabri bin Nordin, bersama Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pendidikan, Ustaz Mohamad Taufiq bin Shamsumiah, Timbalan Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pendidikan, Ustaz Megat Firdaus bin Megat Basri serta Pegawai Penaziran Kokurikulum, Ustaz Mohamad Faizal bin Azmi.
Delegasi University College Bestari pula diketuai oleh Haji Romeli bin Ismail, Pengarah Pemasaran dan Pendaftaran Pelajar, bersama barisan pegawai pemasaran. Turut hadir Dr. Fazilah, Pengarah Yayasan An Nur Maisarah.
Semoga kunjungan ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat dan berterusan dalam memperkasakan pendidikan serta memperluas akses pendidikan tinggi kepada para pelajar di bawah Yayasan ADDIN.
Bersama Memartabatkan AL-Quran
BKPYA
DR004








