PARIT, 10 November 2026 - Menjelang pembukaan sesi persekolahan 2027, Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 2, Parit bakal tampil dengan wajah baharu menerusi pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf kemudahan asrama yang kini sedang giat dijalankan.
Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan pihak pengurusan dalam menyediakan prasarana penginapan yang lebih selesa, selamat dan kondusif demi kebajikan serta kesejahteraan para pelajar.
Penambahbaikan persekitaran asrama ini diharapkan dapat mewujudkan suasana kehidupan dan pembelajaran yang lebih teratur, sekali gus membantu para pelajar memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian, hafazan al-Quran dan pembentukan sahsiah diri.
Sehubungan itu, Yayasan ADDIN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang, pewakaf serta pihak yang telah menghulurkan sumbangan dan sokongan bagi menjayakan usaha penambahbaikan ini. Sesungguhnya, setiap sumbangan yang diberikan amat bermakna dalam menyediakan kemudahan pendidikan dan kebajikan yang lebih baik buat anak-anak tahfiz.
Semoga segala sumbangan, keprihatinan dan pengorbanan yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berpanjangan serta dikurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda oleh Allah SWT.
Mudah-mudahan kemudahan yang lebih baik ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan anak-anak tahfiz, seterusnya melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak mulia dan berjaya di dunia serta akhirat.
Bersama Memartabatkan AL-Quran.
BKPYA
DR004








