KUALA KANGSAR, 29 Julai 2026 – Yayasan ADDIN telah menerima kunjungan lawatan tapak daripada TAJ International College (TIC) ke Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat (MTQ) ADDIN 03 Kampung Ketior, Kuala Kangsar sebagai usaha memperkukuhkan kerjasama strategik dalam pembangunan program Tahfiz TVET.
Lawatan yang berlangsung pada jam 10.00 pagi itu disertai oleh wakil daripada Yayasan ADDIN, MTQ ADDIN 03 dan TAJ International College. Yayasan ADDIN diwakili oleh Encik Mohamad Taufiq Bin Shamsumiah, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pendidikan Yayasan ADDIN.
Turut hadir mewakili MTQ ADDIN 03 ialah Ustaz Shahrul dan Ustaz Khairil Iqbal, manakala delegasi TAJ International College diketuai oleh Puan Tina Binti Tajuddin, Ketua Pegawai Eksekutif TAJ International College. Delegasi turut disertai oleh Encik Syazwan Bin Shaifuddin, Pengurus Sekolah Integrasi Ar-Rahman, serta Encik Akram Bin Abd. Razak, Guru Agama Sekolah Integrasi Ar-Rahman.
Lawatan ini bertujuan meninjau kemudahan dan persekitaran pembelajaran di MTQ ADDIN 03 sebagai sebahagian daripada perancangan memperluaskan kerjasama dalam pelaksanaan program Tahfiz TVET. Selain sesi lawatan, perbincangan turut diadakan bagi mengenal pasti potensi kerjasama yang mampu meningkatkan kualiti pendidikan tahfiz melalui integrasi kemahiran teknikal dan vokasional.
Melalui inisiatif ini, kedua-dua pihak berharap dapat melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja cemerlang dalam penguasaan al-Quran, malah memiliki kemahiran TVET yang relevan dengan keperluan industri dan mampu bersaing dalam dunia pekerjaan.
Yayasan ADDIN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak TAJ International College atas kesudian mengadakan lawatan ini. Semoga jalinan kerjasama yang terjalin akan terus diperkukuhkan demi melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran serta berakhlak mulia selaras dengan aspirasi memperkasakan pendidikan Islam di negara ini.
BKPYA
DR004









