
KG BUAIA, 8 OKTOBER 2026 – Pelajar MTQ ADDIN 13 Kg Buaia, Alya Farisya binti Ahmad Azizi, melakar pencapaian membanggakan apabila memperoleh keputusan Jayyid Jiddan dalam kategori Pra Syahadah 6 Juzuk sempena Ujian Pra Syahadah Al-Quran anjuran Yayasan ADDIN.
Pencapaian ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen pelajar dalam memperkukuh hafazan Al-Quran, selain menjadi bukti usaha berterusan dalam melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berdisiplin dan istiqamah bersama Kalamullah.
Sehubungan itu, Yayasan ADDIN merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Alya Farisya atas kejayaan yang dicapai. Ucapan tahniah dan penghargaan turut ditujukan kepada guru pembimbing, Ustazah Siti Hawa binti Dzulkifli, atas bimbingan, tunjuk ajar dan komitmen dalam mendidik serta membimbing pelajar sepanjang persediaan menghadapi ujian tersebut.
Penghargaan juga diberikan kepada ibu bapa Alya Farisya atas sokongan, doa dan dorongan berterusan yang menjadi antara faktor penting dalam membantu pelajar mencapai kejayaan ini.
Dalam kesempatan yang sama, Yayasan ADDIN turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Ustazah Nabihah, Pengetua MTQ ADDIN 13 Kg Buaia, atas kepimpinan, sokongan dan komitmen dalam memastikan kecemerlangan pendidikan serta hafazan Al-Quran dalam kalangan para pelajar. Semoga usaha berterusan pihak pengurusan, guru-guru dan seluruh warga MTQ ADDIN 13 terus membuahkan kejayaan serta melahirkan generasi huffaz yang cemerlang.
Yayasan ADDIN berharap agar kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada Alya Farisya untuk terus meningkatkan mutu hafazan dan melangkah lebih jauh dalam pengajian Al-Quran. Semoga pencapaian ini turut menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang hafazan.
Tahniah daripada seluruh warga Yayasan ADDIN! Semoga Allah SWT memberkati segala usaha, mengurniakan keteguhan hati untuk terus istiqamah bersama Al-Quran serta menjadikan hafazan yang dipelajari sebagai cahaya petunjuk dan amalan sepanjang kehidupan.
BKPYA
DR004