
TAMBUN, 28 Julai 2026 – Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat ADDIN 7 Tambun telah berjaya menganjurkan Program Intervensi Bacaan Al-Quran bertempat di Dewan Serbaguna Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat ADDIN 7 Tambun.
Program yang memberi penekanan terhadap pemantapan bacaan al-Quran ini telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Abdul Hakim bin Razali, Jurulatih Utama Al-Quran Maahad Tahfiz Perak.
Penganjuran program ini bertujuan membantu para pelajar memperbaiki dan meningkatkan mutu bacaan al-Quran khususnya dari aspek makhraj huruf, tajwid, kelancaran bacaan serta kefahaman terhadap kaedah bacaan yang tepat.
Sepanjang sesi berlangsung, para pelajar diberi bimbingan secara langsung melalui pendekatan talaqqi dan pembetulan bacaan oleh tenaga pengajar berpengalaman. Perkongsian ilmu yang disampaikan diharap dapat menjadi panduan kepada para pelajar dalam memperkemaskan bacaan serta membina keyakinan untuk membaca al-Quran dengan lebih baik.
Yayasan ADDIN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Al-Fadhil Ustaz Abdul Hakim bin Razali atas kesudian berkongsi ilmu dan pengalaman dalam membimbing para pelajar. Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada pihak Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat ADDIN 7 Tambun atas komitmen menjayakan program yang memberi manfaat besar dalam usaha melahirkan generasi huffaz yang berkualiti dan berkemahiran dalam bacaan al-Quran.
Semoga program seperti ini dapat diteruskan secara berterusan sebagai salah satu usaha memperkukuh penguasaan al-Quran dalam kalangan pelajar serta menyemai kecintaan terhadap kitab suci Allah SWT.
BKPYA
DR004