Anugerah Mursyid Sempena Sambutan Jubli Emas Masjid Sultan Idris Shah 50 Tahun

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Sultan Azlan Shah berkenan berangkat bagi menyempurnakan perasmian Sambutan Jubli Emas Masjid Sultan Idris Shah di sini, pagi tadi.
Majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran diikuti tayangan video korporat disusuli titah perasmian Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum menyempurnakan Pelancaran Jubli Emas berkenaan dan diikuti bacaan doa perasmian.

Baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan majlis penyampaian anugerah kepada pegawai dan tokoh Masjid Sultan Idris Shah II kepada Yusof Ahmad serta Zulkarnain Ibrahim bagi kategori imam, Yusof Ahmad (bilal) dan anugerah mursyid kepada Sheikh Muhammad Nor Mansor al-Hafiz.Turut berangkat pada majlis tersebut, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Iskandar Zulkarnain.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha kerajaan negeri, Zain Azman Abu Seman; Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi dan Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari – sinar harian